Monday, 24 September 2001

Thirteen

Mak ooii! Sepuluh hari e-journal ini tidak bertulis. Maaflah. Sibuk sangat dengan kursus serta masalah-masalah negara. Ditambah lagi gosip tentang perang antara Amerika dan Afganistan. Aduh, pening kepada ini dibuatnya.

Sebenarnya banyak benda yang hendak diceritakan tetapi tidak tahu macam mana hendak mula. Aku puas hati betul dengan penyudah drama bersiri Long Vacation. Sena dan Minami - satu pasangan yang cocok dan serasi. Aku sendiri pun masih tidak percaya yang aku boleh melekat pada soap opera Jepun. Mungkin kerana skrip dan lakonan mereka yang bersahaja itu yang menambat hati ini. Apa-apa pun, lepas ini aku tidak lagi boleh melabelkan semua soap opera sebagai tidak bermutu dan bertaraf picisan.

Ada sesiapa di luar sana yang turut serta dalam upacara penutup Sukan SEA? Aku berharap sangat yang aku tidak keseorangan pada malam tersebut. Sangat amatur. Penuh dengan cacat cela. Tidak seperti kesungguhan yang ditunjukkan pada tahun 1989. Acara-acara yang dipersembahkan pada malam 17 September 2001 itu langsung tidak mencerminkan kewibawaan kita yang pernah menjadi tuan rumah acara sukan yang lebih berprestij. Itulah, semuanya disorong kepada Pak Ngah. Macamlah Malaysia ketandusan tenaga-tenaga kreatif. Noktah!

Sepanjang hampir setahun aku kembali ke tanahair, sudah tiga buah drama Melayu mencuri hati ini. Pertamanya, drama yang diterajui M Rajoli - Ragam Menantu, Mat Nor Khusairi & Velvet Boys dan malam kelmarin - Seruling Kasih.

Daya tarikan karya Rashid Sibir ini terletak pada pengarahan dan sinematografinya. Dunia yang dirakamnya cukup indah, mengimbangi kesuraman hidup yang ingin disampaikan. Di samping plotnya yang segar, Seruling Kasih menampilkan barisan pelakon yang boleh berlakon. Selain Rosyam Nor dan Azizan Mahzan yang tampak tidak konsisten di sepanjang perjalanan cerita itu, pujian patut diberikan kepada Umie Aida, Wan Maimunah dan "Mak Kintan" dengan lakonan yang mengesankan. Dan watak serta lakonan Wan Maimunah mengingatkan kepada Fauziah Nawi dalam Sayang Salmah. Pendek kata, puas hati!

Selamat Hari Lahir buat adik aku, Hazlan, yang ke-12. Dan juga Aidil. Maaflah, tidak dapat hadir ke parti kau. Aku dengarkan, dari sumber-sumber yang boleh dipercayai, gamat betul Hotel Concorde, korang kerjakan. Sekali lagi, selamat hari lahir.

Okay, siapa yang bakal bergelar Bintang Paling Popular 2001? Siti Nurhaliza atau Normala Samsudin? Atau Rabbani?

No comments:

Post a Comment