Saturday, 10 November 2001

Twenty Six

Entahlah, tiba-tiba timbul keinginan hendak tulis dalam BM. Tiada hal, kan?

Macam mana, puas hati dengan keputusan separuh akhir Muzik Muzik 2001? Tiga kejutan berlaku. Pertamanya, lagu yang diramalkan paling layak dinobatkan sebagai Lagu Terbaik kategori Pop Rock iaitu Materialistik, gagal melangkah ke akhir. Rasa-rasanya, lagu ini lebih indah melodinya berbanding Kau Bagaikan Permata, yang juga hasil sentuhan Helen Yap. Seandainya vokal dijadikan faktor penentu, bukankah vokal Siti agak tenggelam timbul pada petang Isnin lalu?

Keduanya, Noraniza Idris tersingkir dalam perebutan yang agak sengit dalam kategori Etnik Kreatif. Nampaknya, tidak berpeluanglah untuk kita berpesta pada malam Juara Lagu 2001 nanti. Dan ini mungkin juga berita baik buat peserta-peserta lain bagi merampas anugerah persembahan terbaik yang terkalung di leher Ratu Irama Malaysia kita selama tiga tahun berturut-turut.

Andainya Aku Bersuara, nyanyian Liza Hanim, dengan persembahan vokal yang mantap, telah melayakkan diri untuk berentap dengan lagu-lagu indah dalam kategori Balada. Biarpun tidak sekontrovesi mana, tetapi lagu ciptaan Azmeer ini tidak kurang mengejutkan. Ini kerana lagu Soal Hati dan Siapalah Hati adalah lebih kuat melodinya. Ini yang menimbulkan persoalan sedari dahulu lagi, apakah aspek yang dinilai oleh panel juri Muzik Muzik. Kekuatan lagu ataupun persembahan?

Selain itu, pemilihan panel juri juga amat mecurigakan. Mengapa perlu pengadil dari bidang komunikasi sedangkan tiada pakar bahasa bagi menilai lirik yang juga unsur terpenting dalam penciptaan lagu yang bagus? Satu lagi, kenapa tiada satu pun juri yang mempunyai latar pendidikan formal dalam bidang muzik dipilih? Bukankah ramai anak Malaysia yang mengaji di Berkeley College of Music, salah satu IPT ternama di jurusan ini, seperti Ahmad Izham Omar, Mac Chew, Aubrew Suwito dan Jenny Chin? Sungguh ironi, dalam kita mencanang kempen memajukan industri muzik, kita sendiri memutuskan hubungan kita dengan dunia luar. Pelik bin ajaib.

Cukup kot untuk komentar pada hujung minggu. Petang ini, saya ada temujanji dengan Charlie's Auntie di Actor's Studio bersama-sama Mus. Kalau ada umur, jumpa kita di Dataran LRT, Komplek Sukan Bukit Jalil pada petang esok. Ada konsert Hari Kitar Semula Kebangsaan yang menampilkan Dayang Nurfaizah, Ferhad, M. Nasir, Ziana Zain dan Siti Nurhaliza. Jumpa di sana...!

No comments:

Post a Comment